KOTA KINABALU: Sambutan Majlis Gong Xi Raya anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menjadi platform bermakna dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja dan jemputan yang hadir.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, sambutan yang menggabungkan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina itu mencerminkan keunikan masyarakat majmuk di Sabah dan Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
“Majlis seperti ini memberi ruang untuk kita berkumpul dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Ia bukan sekadar menikmati juadah, tetapi menjadi simbol kesyukuran, perkongsian rezeki serta hubungan yang dipereratkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gong Xi Raya IDS 2026 di Wisma IDS, di sini, hari ini.

Menurutnya, tradisi menggaul Yee Sang yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina turut membawa makna simbolik harapan baharu, kemakmuran serta kejayaan.
“Ia melambangkan penyatuan dan semangat untuk terus melangkah bersama sebagai sebuah keluarga kerja yang harmoni, saling menyokong serta komited mencapai kecemerlangan,” katanya.
Azizah turut menegaskan bahawa penganjuran majlis seumpama itu mampu memperkukuh nilai kebersamaan dan perpaduan yang perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Walaupun kita sibuk dengan tugasan harian, kesempatan seperti ini mengingatkan bahawa kita bukan sekadar rakan sekerja, tetapi sebuah keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan kestabilan yang dinikmati, meskipun dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik global, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan iklim.
“Amalan bersederhana dan sikap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan amat penting dalam situasi semasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah serta tidak berlebihan, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Bersederhana bukan satu kekurangan, tetapi satu kebijaksanaan. Pengurusan kewangan yang baik penting untuk menjamin kestabilan kehidupan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjaga kesihatan, terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Pastikan kita minum air secukupnya, kurangkan aktiviti di bawah terik matahari dan sentiasa menjaga kesejahteraan diri serta keluarga,” katanya.
Turut hadir pada Majlis ini,Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd Datuk Redonah Bahanda, Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr.Ramzah Dambul, Ahli Lembaga Pengarah IDS dan Ahli Jawatankusa Women Initiative Leadership Committee (WILC)
