KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara lebih inklusif, mampan dan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hubungan erat antara kedua-dua pihak menjadi kunci utama dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan berkesan.
“Kerjasama yang kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud di pejabatnya di sini, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah, kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju agar pelaksanaan perkara berkenaan dipercepatkan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan berterusan antara agensi Persekutuan dan negeri bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Masidi mengingatkan semua pihak agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Katanya, faktor seperti konflik antarabangsa, tekanan inflasi serta perubahan pasaran dunia boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan sekiranya tidak ditangani dengan strategi yang tepat.
“Kerajaan negeri perlu terus mengamalkan pendekatan berhemah dalam perbelanjaan serta memberi tumpuan kepada semua sektor bagi memastikan kestabilan ekonomi Sabah kekal terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negeri adalah penting bagi menjamin pembangunan yang seimbang dan konsisten dalam jangka panjang.
