SEMPORNA: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh Sabah dalam usaha menangani masalah infrastruktur yang berlarutan sejak sekian lama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata beberapa projek bekalan air berskala besar kini sedang dilaksanakan, dengan sebahagiannya dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Katanya, satu daripada projek berkenaan dijangka siap menjelang hujung tahun ini, manakala sebuah lagi projek di kawasan Tawau sudah mencapai kemajuan antara 50 hingga 60 peratus.
“Terdapat dua atau tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.
“Kita juga menggantikan paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak berlaku kebocoran, kecurian dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, Selasa.
Hajiji berkata, masalah bekalan air yang dihadapi Sabah bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian secara berperingkat serta berterusan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menangani permasalahan itu demi memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang lebih baik.
“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.
“Yang penting kita positif saja, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah infrastruktur termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya yang menjadi antara keperluan utama rakyat.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata pelancaran 106 unit kedai dua tingkat Fasa 1, selain pembangunan Projek Komersial Fasa 2 dan 3 LPPB di Jalan Bubul, dijangka merancakkan lagi kegiatan ekonomi di Semporna.
Katanya, pembangunan komersial itu penting bagi menyokong pertumbuhan Semporna sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah yang menerima kedatangan ramai pelawat.
“Saya merasmikan pelancaran projek LPPB, 106 unit kedai yang telah siap dan juga pelancaran fasa kedua dan ketiga.
“Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna ini,” katanya.
Menurut Hajiji, pembinaan premis perniagaan baharu akan menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk aktiviti membeli-belah, makanan dan minuman serta perkhidmatan lain, sekali gus memberi manfaat kepada pelancong dan masyarakat setempat.
Beliau berkata, perkembangan itu juga membuka ruang lebih luas kepada penduduk Semporna dan kawasan sekitarnya untuk terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi serta keusahawanan.
Hajiji berkata, berdasarkan maklumat daripada pemaju, pembangunan komersial berkenaan turut merangkumi cadangan pembinaan sebuah jeti yang boleh menambah nilai kepada kawasan itu.
Ketua Menteri berkata, pembangunan berkenaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggalakkan penyertaan rakyat, pemaju dan sektor swasta dalam pembangunan negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus mengamalkan dasar yang terbuka dan mesra pelabur bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk aktiviti pelaburan dan perniagaan.
“Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta. Kita mempunyai dasar yang terbuka, friendly investor.
“Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan.
“Kita gubal satu dasar yang memudahkan para pemaju dan juga pelabur dari luar datang ke sini kerana kalau ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan pelaburan dan kegiatan ekonomi penting bukan sahaja untuk merancakkan pertumbuhan negeri, malah bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan untuk rakyat Sabah.
