SEMPORNA: Pembangunan Sabah perlu dipergiat secara menyeluruh di setiap daerah berdasarkan keperluan, kekuatan dan potensi masing-masing, dan tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu atau bandar-bandar utama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata setiap daerah mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak ruang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pembangunan komersial di Jalan Bubul di sini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan Semporna, bukan sekadar sebuah projek komersial.
“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, Selasa.

Hajiji berkata, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dan sudah dikenali di peringkat antarabangsa menerusi keindahan pulau, kejernihan air laut serta aktiviti pelancongan, khususnya selam skuba.
Justeru, beliau berkata perkembangan sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan perniagaan tempatan supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati masyarakat setempat.
Menurutnya, pendekatan itu mampu membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta memastikan pertumbuhan industri pelancongan memberi kesan langsung kepada ekonomi masyarakat Semporna.
Beliau berkata, kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung–Semporna turut mempunyai potensi untuk berkembang sebagai kawasan perdagangan dan perniagaan baharu.

“Saya percaya, jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.
Hajiji turut mencadangkan Ampe (Semporna) Sdn Bhd mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti berikutan kawasan pembangunan berkenaan mempunyai sungai dan terletak berhampiran laut.
Beliau berkata, kemudahan itu boleh memberikan nilai tambah kepada pembangunan kawasan berkenaan, selain mewujudkan ruang rekreasi untuk orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut serta tarikan matahari terbenam.
“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata tahun ini menandakan permulaan fasa baharu pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai kesinambungan pelaksanaan SMJ 1.0.
Beliau berkata, SMJ 2.0 dirangka bagi melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, di samping memastikan pembangunan kekal inklusif dan mampan.
“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.
“Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif untuk pembangunan dengan memperkukuh infrastruktur, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta menarik pelaburan yang bersesuaian.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat amat diperlukan kerana pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.
Beliau menegaskan manfaat pembangunan perlu dirasai secara menyeluruh — sama ada masyarakat bandar atau luar bandar, usahawan besar atau kecil, serta golongan muda mahupun generasi lebih berusia.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus memberi perhatian kepada pembangunan setiap daerah bagi memastikan potensi ekonomi di seluruh Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja,” katanya.
