KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meneruskan usaha menyantuni golongan memerlukan menerusi Program Santunan Kasih anjuran Biro Kebajikan pertubuhan itu, di sini, Selasa.
Yang Dipertua MUTIARA GRS yang juga isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, menyampaikan sumbangan kepada Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta pesakit di bawah jagaan Care of the Terminally Ill (COTI) di Tanjung Aru.
Menerusi program berkenaan, Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menerima sumbangan cek bernilai RM3,000.
MUTIARA GRS turut menyumbangkan dua unit katil hospital elektrik dan dua unit kerusi roda jenis Heavy Duty Reclining Wheelchair bagi membantu memenuhi keperluan penerima.
Selain itu, Juliah turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, bakul makanan serta barangan keperluan termasuk lampin pakai buang dan susu kepada pesakit di bawah jagaan COTI di Tanjung Aru.
Program berkenaan mencerminkan usaha berterusan MUTIARA GRS dalam memperluas khidmat kebajikan dan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang berdepan cabaran kesihatan dan memerlukan sokongan dalam kehidupan seharian. Turut hadir, Pengerusi Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr Suzain Suhaimi.
