Sabah terus bawa isu 40 peratus dalam rundingan MA63

KUNAK: Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan negeri yang masih belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan pemberian khas bersamaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkara itu antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri pada Jumaat ini, dengan Sabah menjadi tuan rumah.

“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, Selasa.

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan perkara berkaitan MA63, dengan sembilan perkara berjaya diselesaikan sepanjang pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini, termasuk penurunan beberapa kuasa kepada Sabah.

Katanya, jumlah keseluruhan perkara yang telah diselesaikan kini mencecah 13, termasuk empat yang diselesaikan sebelum ini.

“Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 perkara telah diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada perkara-perkara lain, termasuk pembayaran 40 peratus,” katanya.

Menurut Hajiji, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan 40 peratus berkenaan, namun masih terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu melalui proses penyelesaian.

“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah, mungkin teknikal, yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang masih belum diselesaikan akan terus dibawa dalam mesyuarat dan rundingan berkaitan MA63 sehingga mencapai penyelesaian.

Dalam perkembangan lain, Hajiji menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang kini hampir siap dan dijangka memulakan pengeluaran vitamin E sebelum hujung tahun ini.

Katanya, projek berasaskan sumber sawit itu merupakan perkembangan positif dalam usaha Kumpulan Sawit Kinabalu mempelbagaikan aktiviti dan perniagaannya serta menghasilkan produk bernilai tambah.

“Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya.

Hajiji berkata, projek itu dipercayai antara yang pertama seumpamanya di Malaysia dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan hasil Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.

“Saya fikir ini yang pertama di Malaysia. Jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit Kinabalu dan juga syarikat kerjasama,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Hajiji bersama rombongan disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr Musa, dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.

Kunak Lipids Sdn Bhd merupakan anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles