KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk terus memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendirian Presiden Gagasan Rakyat itu pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah bukan sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Nizam berkata, Gagasan Rakyat turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini, yang disifatkan sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bayaran interim berkenaan tidak menutup atau menggantikan tuntutan hak 40 peratus Sabah yang masih perlu dimuktamadkan.
“Bayaran interim itu satu perkembangan positif, tetapi tuntutan 40 peratus tetap perlu diselesaikan sebagaimana yang terus ditegaskan Ketua Menteri,” katanya.
Nizam berkata, Gagasan Rakyat turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh suara kedua-dua negeri dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan Sabah dan Sarawak serta semangat pembentukan Malaysia pada 1963.
“Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.
“Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63,” katanya.
Beliau berkata, perkara berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta keupayaan negeri untuk mengurus dan mempertahankan kepentingannya dengan lebih berkesan.
Nizam berkata, Gagasan Rakyat yakin pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini adalah jelas — tegas mempertahankan hak Sabah sambil mengutamakan rundingan, kerjasama serta hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi mencapai penyelesaian konkrit.
Beliau berkata, pendekatan itu telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa perkara berkaitan MA63 dan perlu diteruskan sehingga isu yang masih tertangguh dapat diselesaikan.
“Bagi Gagasan Rakyat, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.
“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.
“Pada masa yang sama, Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya.
Nizam menegaskan Sabah tidak meminta sesuatu yang melebihi haknya, sebaliknya mahu apa yang telah diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan secara adil dan bertanggungjawab.
“Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.
