Tambah kerusi Parlimen perkukuh suara Sabah, Sarawak :Azizah

KOTA KINABALU:Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh representasi kedua-dua negeri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, penambahan kerusi itu penting bagi memastikan suara rakyat — khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil — dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Parlimen.

“Kita mengalu-alukan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya supaya perkara ini dapat direalisasikan dalam masa yang secepat mungkin, walaupun kita faham ia masih memerlukan beberapa prosedur termasuk pindaan Perlembagaan dan kelulusan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah 2026, di sini, Sabtu.

Azizah berkata, keperluan menambah kerusi Parlimen bukan semata-mata berkaitan jumlah wakil rakyat, sebaliknya turut membabitkan soal keberkesanan representasi serta keupayaan memahami dan membawa isu rakyat mengikut keperluan setempat.

Menurutnya, perkara itu juga mempunyai kaitan dengan usaha menangani kemiskinan di Sabah yang memerlukan pendekatan lebih bersasar kerana setiap daerah dan komuniti mempunyai cabaran berbeza.

“Kalau kita tidak tahu sesuatu tempat dan masalah yang mereka hadapi, bagaimana kita mahu merancang program yang benar-benar sesuai untuk membantu mereka.

“Tidak boleh kita menggunakan pendekatan yang sama untuk semua kawasan kerana setiap daerah dan komuniti mempunyai keperluan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat yang memahami keadaan dan realiti kehidupan masyarakat di kawasan masing-masing berada pada kedudukan lebih baik untuk mengetengahkan isu serta keperluan rakyat kepada kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata IDS kini memberi penekanan kepada kajian kemiskinan bagi mengenal pasti dengan lebih tepat lokasi serta kelompok masyarakat yang memerlukan intervensi.

Beliau berkata, penelitian berkenaan tidak hanya melihat kadar kemiskinan mengikut daerah secara keseluruhan, tetapi turut melibatkan pemetaan sehingga ke peringkat kampung.

“Tidak semua kawasan dalam sesebuah daerah itu miskin. Ada tempat-tempat tertentu yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi.

“Sebab itu kita sedang membuat pemetaan supaya kita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kampung dan kawasan yang memerlukan intervensi,” katanya.

Menurut Azizah, pegawai dan penyelidik IDS telah turun ke beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Semporna untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa daerah.

Beliau sendiri turut mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Semporna bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai lokasi dan isu kemiskinan di daerah berkenaan.

Azizah berkata, hasil kajian itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri, selain mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan supaya program menangani kemiskinan dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih tepat serta berkesan.

“Kita mahu menunjukkan dengan jelas kawasan-kawasan yang perlu diberikan perhatian supaya perancangan dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah turut menekankan kepentingan membuka ruang lebih luas kepada wanita dan golongan muda Sabah yang berkelayakan untuk tampil sebagai pemimpin serta mewakili suara rakyat.

“Kita mahu lebih ramai wanita dan anak-anak muda Sabah yang berkebolehan tampil ke hadapan untuk mewakili rakyat di Parlimen. “Beranilah bersuara, tetapi pastikan suara itu membawa kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan sekadar untuk berteriak,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles