KOTA KINABALU:Pengamal media perlu terus berpegang kepada prinsip keadilan, ketepatan dan keseimbangan dalam pelaporan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang lengkap, jelas dan bertanggungjawab.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata peranan media bukan sekadar membuat liputan dan menyampaikan berita, malah menjadi jambatan penting yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan, agensi serta institusi.
Justeru, beliau berkata setiap isu perlu dilaporkan secara menyeluruh dengan memberi ruang sewajarnya kepada pihak berkaitan untuk menyampaikan pandangan dan penjelasan.
“Cepat itu bagus, tetapi tepat dan adil itu lebih penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media IDS 2026, di sini, Sabtu.

Azizah berkata, dalam landskap media yang bergerak pantas, keperluan menyampaikan berita dengan segera tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat dan seimbang.
Menurutnya, pengamal media juga perlu sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat Sabah yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam.
“Kita boleh kritikal dan bertanya soalan yang tegas, namun semuanya hendaklah dilakukan dengan berhemah dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Azizah berkata IDS akan terus memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat, kemiskinan, keusahawanan dan pemerkasaan wanita.
Beliau berkata, hasil penyelidikan yang dilaksanakan IDS tidak seharusnya hanya tersimpan dalam bentuk laporan, sebaliknya perlu diterjemahkan dan disampaikan kepada pemegang taruh, khususnya masyarakat.
“Rakan-rakan media banyak membantu IDS memastikan ilmu dan maklumat daripada hasil kajian sampai kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Azizah berharap hubungan baik antara IDS dan pengamal media dapat terus diperkukuh menerusi kerjasama, perkongsian maklumat serta pertukaran pandangan.
Beliau berkata, hubungan erat antara institusi penyelidikan dan media penting dalam memastikan dapatan kajian serta isu berkaitan pembangunan negeri dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sabah.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul, serta Ahli Lembaga Pengarah IDS.
