TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah yakin Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembayaran tuntutan pemulangan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, keputusan mahkamah itu dibuat melalui proses perundangan yang sah dan berpandukan peruntukan Perlembagaan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, setakat ini jumlah bayaran yang akan diterima Sabah masih belum dimuktamadkan kerana ia masih dalam perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal bersama Kerajaan Persekutuan.
“Di peringkat jawatankuasa, beberapa mesyuarat telah diadakan dan perbincangan masih berjalan bagi memperincikan kaedah pelaksanaan serta jumlah bayaran yang perlu diselesaikan.
“Mesyuarat terbaharu juga telah diadakan baru-baru ini bagi meneliti perkara berkaitan secara lebih terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur anjuran Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, pada Ahad.
Hajiji menyatakan keyakinan bahawa rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan membuahkan hasil positif, termasuk pelaksanaan pembayaran tuntutan itu dalam tempoh terdekat.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah, selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
–TAMAT
