TUARAN: Kerajaan Sabah menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menjadikan negeri ini sebagai laluan transit pengedaran dadah, selain tidak akan berkompromi terhadap usaha menjadikan rakyat tempatan sebagai sasaran pasaran bahan terlarang itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ketegasan itu susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket dadah antarabangsa di Sabah baru-baru ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama agensi penguatkuasaan dalam membanteras jenayah terancang berkenaan.
“Kerajaan negeri memandang serius isu pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini.
“Saya sendiri telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, supaya tindakan tegas diambil terhadap kartel atau sindiket yang terlibat. Kita tidak boleh benarkan Sabah menjadi laluan transit atau hab pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) di Padang Istiadat Tuaran, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri MAFFI Datuk Jamawi Jaafar; Pembantu Menteri MAFFI Datuk Ruslan Muharam; dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.
Hajiji berkata, penguatkuasaan perlu diperkukuh secara menyeluruh menerusi kerjasama erat pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurutnya, kawalan ketat mesti dilaksanakan di semua pintu masuk negeri melibatkan laluan laut, udara dan darat bagi memastikan aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
“Sabah tidak boleh dibiarkan menjadi transit pengedaran dadah. Saya merakamkan penghargaan kepada PDRM dan agensi berkaitan atas kejayaan menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya.
Pada Jumaat lalu, PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain berjaya merampas pelbagai jenis dadah di beberapa kawasan di Sabah menerusi Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2, dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM240 juta.
–TAMAT
