Victor jadikan kritikan pemangkin terus berbakti kepada Tambunan

KOTA KINABALU: Pelbagai kritikan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu tidak sedikit pun melemahkan semangat Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N.39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut, untuk terus berkhidmat dan memperjuangkan kebajikan rakyat di kawasan itu.

Sebaliknya, Victor berkata segala cabaran yang dihadapi sepanjang penglibatannya dalam politik dijadikan pemangkin untuk bekerja lebih gigih demi memastikan masyarakat Tambunan terus menikmati pembangunan dan kemajuan.

Menurut beliau, biarpun tidak bergelar wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya, tanggungjawab terhadap rakyat tetap dipikul atas kesedaran bahawa pemimpin parti yang berada dalam kerajaan perlu sentiasa mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka.

“Khidmat kepada rakyat tidak seharusnya bergantung kepada jawatan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah komitmen, keikhlasan dan kesungguhan untuk membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Kritikan, tuduhan dan fitnah yang diterima selama ini saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja. Perjuangan sebenar bukan terletak pada retorik atau janji kosong, tetapi melalui tindakan dan hasil yang dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat,” katanya dalam satu temu bual bersama media di ibu negeri, baru-baru ini.

Victor berkata, keutamaannya adalah memastikan masyarakat Tambunan tidak tercicir daripada arus pembangunan dan kemodenan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, aspek kebajikan masyarakat, pembangunan komuniti dan usaha meningkatkan taraf hidup penduduk akan terus diberi perhatian demi kesejahteraan bersama.

“Rakyat yang bijaksana tidak menilai berdasarkan persepsi yang dibentuk melalui fitnah atau tohmahan pihak tertentu. Sebaliknya, mereka akan menilai berdasarkan rekod perkhidmatan, komitmen, usaha serta hasil yang telah dilaksanakan,” katanya.

Victor berkata, sejarah membuktikan bahawa fitnah dan tuduhan akan berlalu, namun jasa serta pengorbanan yang dilakukan demi kepentingan rakyat akan terus dikenang. “Nilailah dengan hati yang terbuka, fikiran yang matang dan kebijaksanaan yang berpandukan fakta serta realiti, kerana masa depan Tambunan ditentukan oleh tindakan yang membina, bukannya kata-kata yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles