KOTA KINABALU: Kerjasama dan kesepakatan antara parti-parti tempatan di Sabah perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan serta perjuangan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri ini dapat direalisasikan.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata perpaduan politik tempatan amat penting — khususnya dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan pemberian khas berasaskan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.
Beliau, yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, berkata komitmen dan kerjasama semua parti komponen perlu dipertahankan bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam memperjuangkan hak serta kepentingan negeri.
“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan.
“Sebab itu, gabungan dan kesepakatan ini mesti kita pertahankan bersama,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi Exco Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Wisma IDS, di sini, Khamis.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Pergerakan Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom.

Azizah turut mengingatkan kepimpinan serta ahli parti supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan pandangan politik yang boleh menjejaskan kerjasama, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kerjasama pelbagai parti tempatan di bawah payung GRS mencerminkan kematangan politik serta kesediaan untuk mencari titik persamaan demi kepentingan Sabah.
Beliau berkata, kesepakatan itu bukan sahaja dapat memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan, malah membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berkesan.
“Semangat ini amat selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju pembangunan di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dengan kerjasama yang kukuh, kita berupaya melaksanakan pelbagai usaha menyeluruh untuk kemakmuran serta kemajuan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, pertemuan berkenaan turut menjadi platform perbincangan mengenai usaha memperkasakan kepimpinan wanita serta peranan institusi penyelidikan dalam menyokong penggubalan dan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri.
Turut hadir Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belynda Buntot; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Lailawati Ahmad Bahrom @ Julia ABT; serta barisan Exco Wanita UPKO.
