TAWAU:Seminar Kenegaraan dan Integriti Peringkat Komuniti Daerah Tawau yang dianjurkan menerusi kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jabatan Ketua Menteri Sabah, berjaya menghimpunkan pemimpin masyarakat serta wakil komuniti bagi memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan integriti dalam kalangan masyarakat akar umbi.
Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau itu turut dihadiri Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Haji Awang Kadin Tang; Pengarah AKM Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Ketua Cawangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau, Penolong Pesuruhjaya Richard Hii Ding Yin; serta para Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), pegawai AKM, UPPM dan SPRM.
Turut hadir Ketua-Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Kampung serta peserta seminar dari seluruh daerah Tawau.
Dalam ucapan penangguhan seminar, Awang Kadin menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program yang mendapat sambutan menggalakkan serta penglibatan aktif peserta sepanjang sesi berlangsung.

Menurut beliau, seminar tersebut berjaya meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan memupuk semangat patriotisme, memelihara perpaduan masyarakat serta mengamalkan nilai integriti dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di peringkat komuniti.
“Perkongsian yang disampaikan turut memberi pendedahan lebih jelas mengenai kepentingan tadbir urus yang baik, kepimpinan beretika serta peranan pemimpin akar umbi dalam menyampaikan dasar dan aspirasi kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Awang Kadin berkata, ilmu, pengalaman dan jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang seminar diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan pemimpin komuniti yang lebih berwibawa, berintegriti dan berdaya saing.
“Adalah menjadi harapan agar segala pengetahuan yang diperoleh dapat diterjemahkan melalui tindakan dan perkhidmatan yang lebih cemerlang demi kesejahteraan serta kemajuan masyarakat setempat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, para penceramah, urus setia dan semua peserta atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung. Seminar berkenaan dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap konsep Malaysia MADANI, selain memperkasa peranan pemimpin komuniti dalam menyokong agenda pembangunan negeri dan negara yang berteraskan integriti, perpaduan serta kesejahteraan rakyat.
