KOTA MARUDU:Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) komited membantu memperkukuh ekonomi daerah ini menerusi pendekatan lebih strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup rakyat selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengerusinya, Dato’ Dr Janathan Kandok berkata, setiap inisiatif yang dilaksanakan perlu diterjemahkan kepada impak ekonomi yang dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.
Menurut beliau, antara fokus utama PERKOM ialah membantu kerajaan negeri memperluaskan kefahaman rakyat mengenai aspirasi SMJ agar lebih ramai bersedia mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan yang disediakan.
“Menjadi keutamaan kita untuk memastikan rakyat memahami sepenuhnya matlamat SMJ. Apabila rakyat faham, mereka akan lebih bersedia untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai peluang yang diwujudkan.
“Keadaan ini bukan sahaja membantu menjayakan agenda pembangunan kerajaan, malah memastikan manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus bekerja sebagai satu pasukan dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama, selain memastikan maklumat berkaitan bantuan dan peluang di bawah SMJ sampai ke setiap pelosok Kota Marudu.
Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negeri serta memperkukuh sektor pelancongan dan industri desa, Dr Janathan berkata kekayaan budaya etnik di Kota Marudu perlu diketengahkan sebagai sumber utama ekonomi kreatif yang mampu menjana pendapatan baharu kepada masyarakat.
Menurutnya, keunikan tradisi, seni persembahan, kraf tangan dan warisan budaya tempatan mempunyai potensi komersial yang besar sekiranya diurus secara kreatif, inovatif dan berdaya saing.
“Kebudayaan kita bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi merupakan aset ekonomi bernilai tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, PERKOM komited membantu kerajaan memperluaskan promosi kebudayaan etnik melalui pelaksanaan latihan kemahiran kepada pengusaha tempatan, pemerkasaan pemasaran digital produk budaya serta pengukuhan rantaian nilai dalam sektor pelancongan komuniti dan keusahawanan desa.
Dr Janathan turut menggesa golongan belia dan usahawan tempatan agar merebut peluang dalam bidang ekonomi kreatif yang semakin berkembang. Beliau yakin sokongan dasar yang inklusif menerusi Hala Tuju SMJ, disertai penglibatan aktif rakyat, mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agenda pembangunan negeri serta menjadikan kebudayaan etnik Kota Marudu sebagai jenama ekonomi yang membanggakan Sabah.
