Sinergi kerajaan negeri dan USIA diperkukuh selaras aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memberikan sokongan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam melaksanakan peranannya sebagai institusi penting dalam pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mengiktiraf peranan institusi dakwah dan pembangunan insan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat serta pembentukan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Sumbangan USIA dalam bidang dakwah, pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti telah banyak membantu usaha kerajaan memperkasa modal insan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad bersama rombongan di pejabatnya, di sini, Selasa.

Masidi turut merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan USIA dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain berharap hubungan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pertubuhan itu terus diperkukuhkan demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

PERBINCANGAN STRATEGIK: Delegasi USIA mengadakan sesi perbincangan bersama Masidi mengenai perkembangan organisasi serta projek-projek pembangunan termasuk Plaza Sipadan, The Play Ground Kota Kinabalu dan Pusat Latihan Dakwah USIA–Al Bukhary.

𝗞𝘂𝗻𝗷𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗛𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗕𝗶𝗻𝗰𝗮𝗻𝗴 𝗦𝗶𝗻𝗲𝗿𝗴𝗶 𝗦𝘁𝗿𝗮𝘁𝗲𝗴𝗶𝗸
Sementara itu, Sapawi berkata, kunjungan hormat tersebut menjadi platform penting bagi USIA membentangkan perkembangan semasa organisasi serta memperincikan pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Dalam pertemuan ini, kami menyampaikan taklimat mengenai perkembangan USIA, selain membincangkan isu pembangunan ummah, cadangan kerjasama strategik serta usaha memperkukuh sinergi dengan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, delegasi USIA turut berpeluang mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Masidi berhubung peranan organisasi itu dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat di Sabah.

𝗘𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗣𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗨𝗦𝗜𝗔 𝗗𝗶𝗯𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻
Sapawi berkata, USIA turut membentangkan beberapa projek pembangunan di atas tanah miliknya yang sedang giat dilaksanakan, antaranya Projek Plaza Sipadan di Semporna, pembangunan The Play Ground Kota Kinabalu di Sembulan, pembinaan Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA–Al Bukhary di Kota Marudu serta projek menaik taraf Bangunan Lama USIA di Bulatan Sembulan.

Beliau berkata, projek-projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, dakwah serta kesejahteraan masyarakat setempat.

DEMI PEMBANGUNAN UMMAH: Masidi dan Sapawi bergambar bersama selepas kunjungan hormat yang menzahirkan komitmen memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan USIA selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.

𝗨𝗦𝗜𝗔 𝗛𝗮𝗿𝗴𝗮𝗶 𝗦𝗼𝗸𝗼𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝘁𝗲𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶

“USIA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa organisasi ini. “Sokongan tersebut menjadi pemangkin penting dalam memastikan USIA terus relevan sebagai organisasi dakwah dan pembangunan ummah di Sabah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles