KOTA BELUD: Bekas Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Kota Belud, Simi Linggom menyambut baik keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan merangkap Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Simi yang kini merupakan Ketua Wanita Parti Cinta Sabah (PCS) merangkap Timbalan Ketua Wanita GRS berkata, keputusan berkenaan wajar dihormati kerana dibuat selepas melalui pertimbangan yang mendalam berdasarkan perkembangan politik semasa serta hala tuju perjuangan yang diyakini lebih selaras dengan kepentingan rakyat Sabah.
Menurut beliau, keputusan untuk meninggalkan sesebuah parti politik bukan sesuatu yang mudah, khususnya bagi mereka yang telah lama terlibat dalam perjuangan parti berkenaan.
“Sebagai antara individu yang pernah bersama sejak awal perjuangan Warisan di Kota Belud, saya memahami perjalanan politik yang dilalui oleh mereka.
“Saya mengalu-alukan keputusan ini dan percaya penyertaan mereka dalam GRS akan memperkukuhkan lagi usaha memperjuangkan pembangunan, kestabilan politik serta kemajuan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

𝗛𝗮𝗿𝗮𝗽 𝗟𝗲𝗺𝗯𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂 𝗕𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗥𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁
Simi turut berharap agar keputusan yang dibuat oleh Mohd Taib dan rakan-rakannya akan membawa kebaikan serta membuka lembaran baharu dalam perjuangan politik mereka demi kepentingan rakyat dan negeri.
Terdahulu, Mohd Taib mengumumkan keluar daripada Warisan bersama beberapa pemimpin lain selepas menyatakan hilang keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan parti berkenaan.
Turut mengambil keputusan meninggalkan Warisan ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi perubahan ketara dalam landskap politik Sabah apabila beberapa pemimpin akar umbi dan sayap wanita Warisan memilih untuk menyokong perjuangan di bawah kepimpinan GRS.
