Sabah perkasa literasi AI, utamakan etika dan kesejahteraan rakyat: James Ratib

KOTA KINABALU:Pembangunan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira nilai kemanusiaan, etika serta tanggungjawab sosial demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, AI tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan dan memacu inovasi, sebaliknya perlu dibangunkan serta digunakan secara berhemah, bertanggungjawab dan inklusif.

Beliau berkata, AI merupakan teknologi rentas disiplin yang memberi impak besar kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, perkhidmatan awam, ekonomi, kesihatan dan pertanian.

“Seiring aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah berpandangan bahawa kemajuan AI perlu sentiasa diimbangi dengan pertimbangan manusia, khususnya dalam aspek tadbir urus, keselamatan data, etika penggunaan serta penentuan batasan teknologi agar tidak menjejaskan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.

“KPSTI turut menyambut baik serta menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangunan AI di Malaysia perlu berpaksikan nilai kemanusiaan, etika dan tanggungjawab moral dalam mendepani arus kemajuan teknologi yang pesat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

James berkata, usaha memperkukuh pembangunan bakat digital dan literasi AI di Sabah akan terus diperkasa, melibatkan pelajar, pendidik serta penjawat awam.

Menurut beliau, penekanan khusus akan diberikan terhadap aspek etika teknologi, tanggungjawab sosial serta penggunaan AI yang selamat, berintegriti dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

“KPSTI turut melaksanakan beberapa latihan berteraskan AI kepada pensyarah dan warga pendidik melalui kerjasama dengan syarikat tempatan bagi memperkasakan penggunaan teknologi ini dalam proses pembelajaran serta aliran kerja harian.

“Kita yakin masa depan negara akan ditentukan oleh keupayaan menggabungkan kemajuan teknologi dengan kefahaman mendalam terhadap nilai kemanusiaan,” katanya.

James berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi dan berdaya saing menjelang tahun 2030. “KPSTI Sabah akan terus menyokong dasar dan inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh ekosistem AI negara yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles