KOTA KINABALU:Kemasukan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti komponen baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai langkah positif yang mampu memperkukuh perpaduan politik serta kestabilan pentadbiran negeri.
Bekas Pengerusi Tetap Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi GRS menerima UPKO mencerminkan kematangan politik serta semangat kerjasama yang semakin kukuh dalam kalangan parti-parti tempatan Sabah.
Menurut beliau, penyertaan UPKO akan memperluaskan lagi kekuatan gabungan itu, selain memperteguhkan hala tuju GRS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
“Kemasukan UPKO menunjukkan kesediaan parti-parti tempatan untuk bergerak dalam satu platform yang lebih kukuh demi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Perpaduan yang telah dibina ini perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan asas penting kepada kemajuan dan kemakmuran Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
𝗚𝗥𝗦 𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵 𝗶𝗻𝗸𝗹𝘂𝘀𝗶𝗳, 𝗺𝗮𝗺𝗽𝘂 𝗵𝗮𝗱𝗮𝗽𝗶 𝗰𝗮𝗯𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗺𝗮𝘀𝗮 𝗵𝗮𝗱𝗮𝗽𝗮𝗻
Yazid turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan serta semua parti komponen GRS yang berjaya mencapai kata sepakat berhubung penerimaan UPKO sebagai anggota baharu gabungan tersebut.
Beliau berkata, penyertaan UPKO dijangka menjadikan GRS lebih inklusif dan berupaya memperkukuh lagi kedudukannya dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan pembangunan pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau berharap UPKO dapat memainkan peranan aktif dalam memperkasakan agenda perjuangan GRS yang berteraskan prinsip Sabah First dan Sabah United.
“Dengan penyertaan UPKO, saya yakin GRS akan menjadi lebih mantap dan berupaya memperjuangkan kepentingan Sabah secara lebih berkesan menerusi kerjasama erat semua parti komponen,” katanya.
𝗨𝘁𝗮𝗺𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗽𝗲𝗻𝘁𝗶𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗯𝗲𝘇𝗮𝗮𝗻
Yazid turut menyeru semua parti dalam gabungan itu agar terus mengetepikan perbezaan serta mengutamakan kepentingan negeri demi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah dapat terus dipertingkatkan. Menurutnya, perpaduan dan kerjasama antara parti-parti tempatan merupakan faktor penting dalam memastikan Sabah terus bergerak maju serta mampu menghadapi cabaran masa depan dengan lebih yakin dan berkesan.
