Wanita UPKO teguh sokong kepimpinan Parti, sedia mainkan peranan aktif dalam GRS

KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan parti itu untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan parti-parti tempatan di negeri ini.

Ketua Wanita UPKO, Mohina Sidom berkata, penyertaan parti itu dalam GRS selari dengan aspirasi memperkukuh identiti politik tempatan serta memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, keputusan tersebut turut mencerminkan komitmen UPKO untuk bersama-sama memperkukuh kestabilan politik negeri dan menyokong agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Penyertaan UPKO dalam GRS selaras dengan semangat Sabah First yang menjadi teras perjuangan parti, selain memperkukuh kestabilan politik dan memacu pembangunan negeri secara lebih berkesan.

“Kami percaya kerjasama ini akan memperkukuhkan suara parti-parti tempatan dalam memperjuangkan hak Sabah serta memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Nabalu News, hari ini.

𝗕𝘂𝗸𝗮 𝗥𝘂𝗮𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗠𝗞𝗦 𝗱𝗮𝗻 𝗨𝘀𝗮𝗵𝗮𝘄𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁𝗮𝗻
Mohina berkata, penyertaan UPKO dalam GRS turut membuka ruang yang lebih luas untuk memperkasa usahawan tempatan, memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, usaha tersebut selari dengan agenda pembangunan ekonomi dan keusahawanan yang diterajui Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, khususnya dalam memperluaskan peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Kerjasama dalam GRS diyakini mampu memperkukuh kestabilan politik negeri, sekali gus mempercepat pelaksanaan dasar pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.


𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗨𝗣𝗞𝗢 𝗧𝗲𝗿𝘂𝘀 𝗔𝗸𝘁𝗶𝗳 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗔𝗴𝗲𝗻𝗱𝗮 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻
Mohina turut menegaskan komitmen Wanita UPKO untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti serta memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan hak-hak Sabah. “Wanita UPKO akan terus menjadi rakan penting dalam memperkukuh perjuangan parti demi memastikan suara rakyat terus didengar, kepentingan Sabah terus dipertahankan dan pembangunan negeri dapat dipacu secara berterusan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles