TAWAU: Keperluan mewujudkan balai bomba dan penyelamat di kawasan Apas-Balung perlu diberi perhatian serius susulan pertumbuhan pesat pembangunan serta peningkatan jumlah penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan pembinaan fasiliti itu sebenarnya sudah dirancang sebelum ini dan kini wajar dipercepatkan pelaksanaannya.
Menurut beliau, kedudukan Balai Bomba dan Penyelamat Tawau yang terletak di pusat bandar dilihat agak jauh untuk memberikan respons pantas sekiranya berlaku kejadian kecemasan, khususnya kebakaran di kawasan Apas dan Balung.
“Dengan pembangunan pesat melibatkan kawasan perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan serta aktiviti ekonomi yang semakin berkembang, kewujudan balai bomba di kawasan ini menjadi satu keperluan mendesak.
“Kita berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak kebakaran di Simpang Batu 15 Jalan Apas, pagi tadi, yang memusnahkan 18 gerai dalam kejadian baru-baru ini.
Mengulas insiden tersebut, beliau memaklumkan bahawa ketika kejadian berlaku, beliau sedang menunaikan ibadah umrah. Bagaimanapun, sebaik menerima maklumat, arahan segera diberikan kepada pegawainya termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas untuk turun membantu mangsa.
Katanya, bantuan disalurkan melalui kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bantuan yang disampaikan hari ini berupa sumbangan wang tunai serta kurma sempena Ramadan sebagai tanda keprihatinan dan usaha meringankan beban peniaga yang terjejas.
“Kita akan terus memantau keadaan dan melihat keperluan bantuan susulan sekiranya perlu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dalam aspek keselamatan, terutama ketika melakukan penyambungan elektrik, membina struktur kediaman atau premis perniagaan serta menggunakan peralatan elektrik dan dapur gas.
Menurutnya, setiap struktur yang dibina perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan memastikan keselamatan sentiasa diberi keutamaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah meminta MPT mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) memandangkan lokasi kejadian terletak di rizab jalan.
“Perbincangan ini penting bagi meneliti status tapak dan menentukan hala tuju pengurusan kawasan berkenaan agar lebih teratur serta memberi manfaat kepada peniaga dan masyarakat setempat. “Kita menunggu laporan lengkap sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
–TAMAT
