LAHAD DATU: Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Dumi Pg Masdal, pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana, pada Khamis di sini mencetuskan spekulasi mengenai perkembangan terbaharu landskap politik negeri.
Beliau dilihat menghadiri majlis berkenaan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sekali gus menarik perhatian pemerhati politik mengenai kemungkinan perubahan sokongan.
Dumi sebelum ini merupakan pemimpin Parti Warisan dan pernah mengumumkan peletakan jawatan di peringkat bahagian, namun tidak banyak mendedahkan pendirian atau hala tuju politiknya selepas itu.
Kehadiran beliau dalam majlis bersama kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai perkembangan yang menarik, meskipun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.
Pemerhati berpendapat situasi itu turut dikaitkan dengan perkembangan sebelum ini apabila beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, susulan keputusan Presiden Warisan, Shafie Apdal, yang memilih Mohammad Yusof Apdal untuk bertanding di kerusi DUN Silam.
Sebelum ini, kerusi berkenaan dianggap antara kawasan pengaruh kuat Dumi, namun perubahan calon pada pilihan raya lalu dilihat telah mengubah dinamika politik di kawasan tersebut.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Dumi berhubung pendiriannya, namun kehadiran beliau bersama kepimpinan kerajaan negeri terus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik.
