KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan cadangan memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu dari pusat bandar ke lokasi baharu yang lebih luas dan dilengkapi kemudahan lebih baik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja terperinci mengenai cadangan berkenaan untuk dibentangkan kepada Kabinet Negeri.
Beliau berkata demikian selepas meninjau dua lokasi yang dicadangkan sebagai tapak pasar baharu, masing-masing di Alam Mesra dan Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, Isnin.
Hajiji berkata, Pejabat Datuk Bandar juga akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan masa depan tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada sekiranya pemindahan itu dilaksanakan.
“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal.
“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji meninjau tanah Kerajaan Negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadangkan sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau turut menerima taklimat mengenai cadangan pembangunan tapak berkenaan daripada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah.
Antara kemudahan yang dicadangkan di hab berkenaan ialah pasar basah dan pasar kering, pusat produk kebudayaan, tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.
Ketua Menteri kemudian meninjau lokasi kedua di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas, di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens bersebelahan Anjung Selera. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.
