PENAMPANG:Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun meneruskan inisiatif insentif pendidikan di daerah ini sebagai usaha menghargai kecemerlangan pelajar serta menggalakkan lebih ramai anak muda mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Beliau berkata, program berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan kekal menjadi antara inisiatif utama bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang di kawasan Penampang.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pelajar menerima penghargaan sewajarnya atas pencapaian mereka di samping menyuntik semangat untuk terus berjaya dalam pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid (MAKEM) SMK Datuk Peter Mojuntin bagi Sesi Akademik 2025 di Dewan Harmoni sekolah berkenaan.
Majlis itu diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang akademik, selain menghargai usaha guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam kejayaan anak-anak.
𝟳𝟯 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗖𝗮𝘁𝗮𝘁 𝟱𝗔 𝗸𝗲 𝗔𝘁𝗮𝘀, 𝟭𝟳 𝗥𝗮𝗶𝗵 𝗦𝘁𝗿𝗮𝗶𝗴𝗵𝘁 𝗔
Dalam ucapannya, Ceasar merakamkan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Seramai 73 pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas manakala 17 pelajar mencatat keputusan cemerlang Straight A.
“Kejayaan ini membuktikan kesungguhan pelajar serta komitmen pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai secara konsisten.
“Pada masa sama, kerajaan negeri terus komited memperkasa akses pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar,” katanya.
𝟭𝟰 𝗜𝗻𝗶𝘀𝗶𝗮𝘁𝗶𝗳 𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶
Ceasar berkata, selain meneruskan pemberian biasiswa dan dermasiswa, kerajaan menyediakan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar di seluruh negeri.
“Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA),” katanya.
𝗜𝗻𝘀𝗲𝗻𝘁𝗶𝗳 𝗔𝗸𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝗹𝘂𝗮𝘀 𝗸𝗲 𝗦𝗠𝗞 𝗟𝗶𝗺𝗯𝗮𝗻𝗮𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝗠 𝗦𝘁 𝗠𝗶𝗰𝗵𝗮𝗲𝗹
Sempena program itu, Ceasar turut menyampaikan insentif pendidikan kepada pelajar yang mencatat pencapaian cemerlang sebagai tanda penghargaan dan galakan untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi.
“Insentif ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian pelajar malah menjadi dorongan kepada mereka untuk terus berusaha dalam pelajaran.
“Selepas pelaksanaan program sama di SMK Bahang, inisiatif berkenaan akan diteruskan di SMK Limbanak dan SM St Michael dalam masa terdekat.
“Langkah ini bagi memastikan lebih ramai pelajar cemerlang menerima pengiktirafan atas usaha dan pencapaian masing-masing,” katanya.
𝗕𝗞𝗡𝗦 𝗗𝗶𝗯𝘂𝗸𝗮 𝗦𝗲𝗺𝘂𝗹𝗮, 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗟𝗮𝘆𝗮𝗸 𝗗𝗶𝗴𝗲𝘀𝗮 𝗠𝗲𝗺𝗼𝗵𝗼𝗻
Beliau turut menggesa pelajar yang layak supaya memanfaatkan peluang permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang dibuka semula bermula 11 Jun lalu.
Menurutnya, kerajaan komited memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Pendidikan kekal menjadi agenda penting dalam pembangunan modal insan dan masa depan negeri. “Kerjasama erat antara kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai generasi berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.
