Pemimpin wanita diseru perkasa diri,berilmu dan bina kepercayaan komuniti

KOTA MARUDU: Pemimpin wanita, khususnya di peringkat akar umbi, diseru supaya terus memperkukuh ilmu pengetahuan, menguasai maklumat, membina hubungan erat dengan komuniti, mengamalkan sikap rendah diri serta menerapkan nilai empati dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (IDS) Sabah, YBhg. Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, pemimpin wanita masa kini perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran semasa dengan meningkatkan kompetensi diri menerusi pembelajaran berterusan.

Menurut beliau, ilmu dan kemahiran kepimpinan boleh dipertingkat melalui pelbagai platform seperti kursus, bengkel dan sesi perkongsian pengalaman, namun aspek sahsiah dan adab tidak boleh diketepikan.

PEMBENTANGAN: Peserta membentangkan laporan dan hasil perbincangan kumpulan dalam sesi latihan sempena bengkel berkenaan.

“Ilmu sahaja tidak mencukupi tanpa akhlak dan adab yang baik. Pemimpin perlu bijak menilai serta menapis maklumat sebelum membuat keputusan supaya setiap tindakan yang diambil berasaskan fakta yang tepat dan sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi IDS Sabah, YBhg. Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 di sini, kelmarin.

Bengkel anjuran bersama Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC) dan IDS Sabah itu menjadi platform penting untuk memperkasa pemimpin wanita agar lebih bersedia mendepani cabaran serta isu semasa dalam komuniti masing-masing.

PENYAMPAIAN SIJIL: Dr. Ramzah menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 di Kota Marudu.

𝗛𝘂𝗯𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗠𝗮𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗕𝗶𝗻𝗮 𝗞𝗲𝗽𝗲𝗿𝗰𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻
Dr. Ramzah turut menekankan kepentingan hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, pemimpin yang sentiasa mendampingi rakyat, memahami keperluan komuniti serta menunjukkan keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi akan lebih mudah memperoleh kepercayaan dan sokongan masyarakat.

Selain itu, beliau menyifatkan sikap rendah diri dan kesederhanaan sebagai antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh setiap pemimpin.

“Pemimpin yang merendah diri lebih mudah didekati, dihormati dan disenangi masyarakat berbanding mereka yang bersikap sombong atau terlalu mementingkan diri sendiri,” katanya.

PENGHARGAAN: Dr. Ramzah menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik sebagai pengiktirafan atas komitmen dan penglibatan aktif sepanjang bengkel berlangsung.

𝗘𝗺𝗽𝗮𝘁𝗶 𝗕𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗸𝗮𝗱𝗮𝗿 𝗦𝗶𝗺𝗽𝗮𝘁𝗶
Mengulas mengenai nilai empati, Dr. Ramzah berkata pemimpin perlu mempunyai keupayaan memahami pengalaman serta cabaran yang dihadapi rakyat agar penyelesaian yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.

“Empati bukan sekadar simpati, tetapi keupayaan meletakkan diri kita di tempat orang lain untuk memahami situasi yang mereka lalui,” katanya.

Beliau yakin gabungan lima elemen utama iaitu ilmu, penguasaan maklumat, hubungan baik dengan komuniti, sikap rendah diri dan empati mampu melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa, dihormati serta berupaya membawa perubahan positif kepada masyarakat.

𝗦𝗶𝗿𝗶 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗴𝗮 𝗦𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗞𝗼𝘁𝗮 𝗞𝗶𝗻𝗮𝗯𝗮𝗹𝘂 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗻𝗶𝗻𝗴𝗮𝘂
Pada bengkel berkenaan, peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh Pengurus Dal’s Services, Awang Amdan SM Darus, yang menyampaikan ceramah bertajuk Modul Penulisan Dokumen Rasmi dan Laporan, manakala Penyelidik Bersekutu IDS, Zainald Zainuddin berkongsi mengenai Konten Media Sosial untuk Pemimpin Wanita Akar Umbi.

Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 3 merupakan kesinambungan program pembangunan kepimpinan wanita yang sebelum ini telah diadakan di Kota Kinabalu dan Keningau, dengan objektif memperkukuh kapasiti serta daya kepimpinan wanita di seluruh Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles