George, Sim Fui bidas dakwaan GRS abai komuniti Cina

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan komuniti Cina di Sabah atau menggunakan peruntukan kerajaan sebagai alat politik.

Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo berkata, tuduhan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api daripada Parti Warisan (WARISAN), Loi Kok Liang itu adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Menurutnya, walaupun WARISAN memenangi lapan daripada sembilan kerusi majoriti Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, perkara itu tidak pernah menyebabkan kerajaan GRS meminggirkan komuniti Cina.

“Sebaliknya, keputusan tersebut menjadi motivasi kepada kerajaan GRS untuk bekerja lebih keras dalam memahami dan menangani isu yang dihadapi masyarakat Cina di Sabah.

“Kerajaan GRS yang disokong 54 Ahli Dewan Undangan Negeri kekal komited menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

George berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan menitikberatkan perpaduan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

“Tidak wajar mana-mana pihak memainkan sentimen perkauman atau membuat tuduhan tidak berasas yang boleh menimbulkan rasa tidak percaya serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Ketua Bahagian Api-Api, Sim Fui berkata, kerajaan GRS telah membuktikan komitmennya terhadap pembangunan dan kebajikan komuniti Cina menerusi pelbagai dasar serta inisiatif bantuan.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri mengabaikan komuniti Cina tidak mencerminkan rekod sebenar pentadbiran semasa.

“GRS sentiasa mengamalkan pentadbiran yang adil dan inklusif untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

“Antara bukti jelas komitmen kerajaan ialah peningkatan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada sembilan Sekolah Menengah Persendirian Cina di Sabah serta pengiktirafan rasmi terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan biasiswa dan peluang pendidikan kepada graduan UEC sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Cina di Sabah.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memperuntukkan RM70 juta kepada persatuan bukan Islam, rumah ibadat, badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi komuniti termasuk komuniti Cina di negeri ini.

Katanya, semua inisiatif berkenaan membuktikan kerajaan GRS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum atau komuniti atas perbezaan politik.

Sim Fui turut menyeru semua pihak agar menghentikan politik perkauman dan mengelakkan naratif yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Sabah selama ini dikenali dengan keharmonian antara kaum dan agama. Apa yang rakyat perlukan hari ini ialah kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan perpaduan, bukannya politik kebencian dan perpecahan,” katanya. Beliau menegaskan GRS akan terus bekerja demi kepentingan seluruh rakyat Sabah selaras dengan semangat “Sabah First, People First”.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles