Rasinin sertai PGRS bersama kepimpinan WARISAN Liawan

KOTA KINABALU: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Rasinin Kautis bersama barisan kepimpinan Parti Warisan (WARISAN) Liawan mengumumkan penyertaan rasmi mereka ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Penyerahan borang keahlian mereka diterima sendiri oleh Presiden PGRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena Persidangan Agung Khas Parti Gagasan Rakyat Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

Turut bersama menyertai PGRS ialah beberapa pemimpin dan ahli jawatankuasa WARISAN Liawan termasuk Ketua Wanita dan Ketua Pemuda kawasan berkenaan.

Rasinin berkata, keputusan beliau bersama kepimpinan WARISAN Liawan meninggalkan parti itu dibuat selepas melihat corak kepimpinan serta hala tuju kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji.

Menurut beliau, kestabilan politik, pembangunan rakyat dan pendekatan kepimpinan mesra rakyat yang dibawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi faktor utama mereka memilih untuk bersama PGRS.

“Saya yakin PGRS merupakan platform terbaik untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat khususnya di kawasan Liawan.

“Kita mahu bersama sebuah parti yang mampu membawa kestabilan politik dan pembangunan berterusan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Rasinin bersama beberapa pimpinan utama WARISAN Liawan telah mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti berkenaan sebelum mengambil keputusan menyertai PGRS secara rasmi.

Perkembangan itu dilihat sebagai suntikan baharu kepada kekuatan PGRS di kawasan Liawan sekali gus memperkukuh sokongan akar umbi parti menjelang perkembangan landskap politik semasa di Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles