KOTA KINABALU:Lebih ramai wanita perlu diberi peluang memainkan peranan dalam barisan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya dalam proses membuat keputusan serta memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata penyertaan wanita yang lebih meluas dalam kepimpinan bukan sahaja memperkaya proses membuat keputusan menerusi kepelbagaian pandangan dan pengalaman, malah membantu memperkukuh GRS sebagai sebuah gabungan politik yang inklusif.
“Peranan wanita perlu diperkukuh di semua peringkat bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), di sini, hari ini.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda.
Azizah turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara kepimpinan wanita parti-parti komponen GRS, bagi memastikan gerak kerja organisasi dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Menurutnya, usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi perlu terus dipergiat supaya suara, keperluan dan aspirasi rakyat dapat difahami serta diberikan perhatian sewajarnya.

“Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap kepimpinan wanita akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, di samping menyumbang kepada pembangunan organisasi serta agenda perjuangan GRS.
Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita PGRS, Fahzean Mohiddin; Bendahari Wanita PGRS, Salmie Sarinoh; Ketua Penerangan Wanita PGRS, YB Senator Datuk Anna Bell Perian; Timbalan Ketua Penerangan Wanita PGRS, Julia Ahmad Bahrom; Timbalan Pengerusi Tetap Wanita PGRS, Haliza Din; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; serta Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belynda Buntot.
