KOTA KINABALU:Sabah perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna kandungan kreatif kepada pengeluar kandungan bertaraf nasional dan antarabangsa menerusi pembangunan industri kreatif yang lebih tersusun, berdaya saing dan berimpak tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali, berkata sektor ekonomi kreatif berpotensi muncul sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri, selain mampu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan belia.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya, seni, muzik, warisan serta khazanah alam semula jadi yang boleh diterjemahkan kepada produk kreatif bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Semakin ramai anak muda Sabah berjaya menghasilkan kandungan digital, filem pendek, muzik, animasi, fotografi dan reka bentuk grafik yang mendapat pengiktirafan di dalam serta luar negara.
“Namun, potensi ini masih belum berkembang menjadi industri yang benar-benar kukuh kerana penggiat kreatif masih berdepan kekangan pembiayaan, kemudahan produksi, latihan profesional, pemasaran digital dan perlindungan harta intelek,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Abdul Kassim berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM130.7 bilion, selain mewujudkan lebih 763,100 peluang pekerjaan.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan ekonomi kreatif bukan lagi sekadar bidang seni atau hobi, sebaliknya telah berkembang menjadi sektor strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan Unit Ekonomi Kreatif Sabah bagi menyelaras pembangunan industri secara lebih sistematik, termasuk mengenal pasti bakat tempatan, membangunkan pangkalan data industri, menyelaras latihan, memudah cara akses kepada geran serta menghubungkan penggiat kreatif dengan pelabur.
Beliau turut mengesyorkan penubuhan Sabah Creative Hub sebagai pusat sehenti yang menyediakan studio, ruang kolaborasi, kemudahan produksi, inkubator perniagaan dan latihan profesional kepada penggiat industri kreatif.
“Langkah ini bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai usahawan kreatif, malah membuka peluang pekerjaan baharu kepada belia Sabah,” katanya.
Dalam usaha memelihara warisan seni negeri, Abdul Kassim turut mencadangkan pelaksanaan program Maestro Sabah bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada penggiat seni, pengrajin dan seniman veteran, di samping melibatkan mereka sebagai mentor kepada generasi muda.
Beliau berkata, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki tokoh seni tempatan merupakan khazanah negeri yang perlu dipelihara agar terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan perlindungan hak harta intelek (IP) berikutan masih terdapat penggiat seni dan pengrajin tempatan yang berdepan isu karya mereka ditiru atau digunakan tanpa kebenaran.
Abdul Kassim berkata, peruntukan tambahan menerusi RUU Perbekalan Tambahan 2026 juga perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh sektor pendidikan melalui bantuan pendidikan, peluasan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta penyediaan kemudahan digital kepada pelajar.
Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI), generasi muda Sabah perlu dilengkapi dengan kemahiran digital, analitik data, pengaturcaraan, kreativiti dan pemikiran kritis supaya mampu memenuhi keperluan industri masa depan serta menjadi pencipta peluang pekerjaan.
Mengulas cabaran ekonomi global, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Timur Tengah berpotensi meningkatkan kos logistik, pengangkutan dan makanan yang turut memberi kesan kepada Sabah. “Setiap peruntukan tambahan yang diluluskan perlu dibelanjakan secara berhemah, telus dan berimpak tinggi supaya setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap RUU Perbekalan Tambahan 2026.
