Hajiji saksikan SMJE serah RM89.46 juta kepada Sabah,dividen, CJN dan CSR digabungkan

KOTA KINABALU:SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) menyerahkan sumbangan berjumlah RM89.461 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah merangkumi pembayaran dividen, Cukai Jualan Negeri (CJN) serta sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus mencerminkan prestasi kewangan syarikat yang terus kukuh dan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyaksikan majlis penyerahan tersebut yang berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr. Dionysia Kibat, menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, bagi pembayaran dividen berjumlah RM50 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025 serta CJN sebanyak RM37.96 juta bagi tahun lalu.

Sejak tahun 2023, SMJE telah menyumbang dividen terkumpul sebanyak RM210 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Pembayaran dividen itu disokong oleh kedudukan kewangan syarikat yang kukuh, rizab boleh agih yang mampan serta pengurusan kewangan yang berdisiplin di seluruh Kumpulan SMJE.

Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJE mencecah RM4.82 bilion, manakala syarikat merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM58.7 juta, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik global.

Dalam majlis yang sama, Dionysia turut menyerahkan sumbangan CSR sebanyak RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang diterima Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Norlijah Danin, selain RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang diterima Pengarahnya, Datuk Diyanah Abdullah.

Hajiji berkata, pembayaran dividen dan kutipan CJN itu mencerminkan prestasi kewangan SMJE yang mampan serta membuktikan kejayaan syarikat milik kerajaan negeri itu dalam melaksanakan mandat memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, sumbangan CSR yang disalurkan pula membuktikan komitmen SMJE terhadap pembangunan modal insan serta kebajikan masyarakat menerusi sokongan kepada pendidikan dan inisiatif sosial di negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJE, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pencapaian syarikat itu membuktikan kepentingan pengurusan aset strategik negeri secara profesional, berhemah dan berorientasikan jangka panjang.

“Tanggungjawab kami ialah mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemah agar terus memberikan pulangan yang mampan serta manfaat berkekalan kepada Sabah, bukan sahaja untuk hari ini, malah untuk generasi akan datang,” katanya. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh; Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif Huluan SMJE, Datuk Albert Lo; serta barisan pegawai kanan syarikat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles