KOTA KINABALU:Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan program secara berterusan dengan penglibatan 53 pasukan juruukur yang ditugaskan menjalankan kerja-kerja pengukuran di seluruh daerah di negeri ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, Program PANTAS menerima peruntukan sebanyak RM83 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bagi mempercepatkan pelaksanaan pengukuran tanah.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta, manakala bagi tahun ini sejumlah RM1 juta disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi meneruskan pelaksanaan program berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Usukan) mengenai jumlah peruntukan, bilangan kakitangan teknikal serta keluasan tanah yang berjaya diukur menerusi Program PANTAS pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa.
Mengulas mengenai pelaksanaan di Kota Belud, Isnin berkata sebanyak empat pasukan juruukur telah ditempatkan di daerah itu dan berjaya mengukur 5,347 lot tanah melibatkan keluasan 2,998.590 hektar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di pejabat tanah daerah di seluruh Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah terus mempergiat usaha mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran kepada pemohon yang layak.
Isnin berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah memperkukuh pemantauan di setiap peringkat pemprosesan, mempercepatkan kerja pengukuran tanah yang telah diluluskan menerusi program pengukuran sistematik serta penggunaan peralatan ukur moden.
“Selain itu, penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan dan pengeluaran geran tanah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tempoh penyelesaian setiap permohonan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal, kekangan tenaga kerja, serta pematuhan kepada Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dan dasar kerajaan negeri yang berkuat kuasa.
Bagi mengatasi kekurangan tenaga teknikal, Isnin berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah mengisi 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5, yang kini dalam proses pengiklanan untuk lantikan baharu.
Beliau berkata, pengisian jawatan itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan kerja pengukuran tanah di seluruh negeri.
