DUN Sabah lulus empat RUU libat pengurusan, tanah dan kebajikan

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) pada persidangan, Khamis, melibatkan aspek pentadbiran, kebajikan, perumahan dan tanah.

Empat RUU berkenaan ialah RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026, RUU Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 dan RUU Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026.

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya  meluluskan RUU Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026, manakala Timbalan Speaker Datuk Al-Hambra Juhar meluluskan RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 dan RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026.

RUU Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 pula diluluskan oleh Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong We Kong, dengan kesemua RUU tersebut dibahaskan oleh 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan diluluskan dengan sokongan majoriti.

𝐏𝐢𝐧𝐝𝐚𝐚𝐧 𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐤𝐞𝐥𝐞𝐩𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐫𝐣𝐞𝐥𝐚𝐬 𝐜𝐮𝐭𝐢 𝐠𝐚𝐧𝐭𝐢𝐚𝐧:
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 bertujuan meminda Enakmen Hari Kelepasan [Bab 56], khususnya subseksyen 3(3), bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang berkaitan cuti gantian apabila berlaku pertindihan hari kelepasan pada hari Ahad.

Menurutnya, pindaan itu akan memastikan pelaksanaan cuti gantian lebih teratur, konsisten serta selaras dengan Holidays Act 1951.

𝐏𝐢𝐧𝐝𝐚𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐩𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐌𝐚𝐡𝐤𝐚𝐦𝐚𝐡 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐚𝐡:
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki menjelaskan RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 bertujuan meminda Ordinan Pengangkatan 1960.

Katanya, pindaan itu dibuat susulan penguatkuasaan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah mengendalikan urusan pengangkatan bagi umat Islam di Sabah.

“Pindaan ini penting bagi memastikan Ordinan Pengangkatan 1960 tidak lagi terpakai kepada orang Islam, sekali gus membolehkan pelaksanaan enakmen baharu berjalan dengan berkesan,” katanya.

𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐥𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐬𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦𝐚𝐭𝐢𝐤 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐥𝐮𝐬:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, RUU Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 memperkenalkan sistem pengurusan bangunan yang lebih komprehensif dan moden.

Menurutnya, antara pendekatan utama ialah penubuhan Pesuruhjaya Pengurusan Bangunan bagi memantau pematuhan undang-undang, selain menetapkan garis masa jelas bagi penubuhan Management Corporation.

“Langkah ini bertujuan memastikan pengurusan bangunan lebih teratur, telus dan berakauntabiliti, di samping melindungi kepentingan pemilik dan pembeli,” katanya.

𝐊𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮 𝐡𝐚𝐤𝐦𝐢𝐥𝐢𝐤 𝐬𝐮𝐛𝐬𝐢𝐝𝐢𝐚𝐫𝐢 𝐥𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐤𝐨𝐦𝐩𝐫𝐞𝐡𝐞𝐧𝐬𝐢𝐟
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, RUU Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 memperkenalkan kerangka perundangan lebih menyeluruh bagi memudah cara pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak hak milik subsidiari.

Menurutnya, RUU itu memperluas skop undang-undang dengan meliputi bukan sahaja bangunan, tetapi juga tanah yang mempunyai lebih daripada satu struktur, selaras dengan perkembangan pembangunan berstrata.

“RUU ini disusun semula secara lebih komprehensif kepada lapan bahagian utama dengan 54 klausa berbanding tujuh bahagian dalam enakmen terdahulu,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles