KOTA KINABALU: Senator Datuk Anna Bell Perian membidas dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal dalam memperjuangkan tuntutan 40 peratus hak Sabah seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyifatkan tuduhan yang dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga daripada Parti Warisan, Lisa Hassan Alban, bahawa GRS mengancam hak perlembagaan Sabah sebagai fitnah politik terdesak yang cuba memesongkan fakta sebenar mengenai usaha kerajaan negeri ketika ini.
Menurutnya, kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor sedang membetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu menerusi pendekatan diplomasi matang yang memberi manfaat besar kepada Sabah termasuk memperkukuh kuasa autonomi negeri.

“Bagaimana sebuah kerajaan dianggap gagal sedangkan di bawah pentadbiran GRS, bayaran interim Pemberian Khas Sabah berjaya dinaikkan daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta?
“Kini kerajaan negeri mensasarkan peningkatan kadar pemberian khas daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun.
“Ini membuktikan pendekatan rundingan yang berhemah dan strategik mampu menghasilkan pencapaian nyata untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Anna Bell berkata, walaupun kerajaan negeri mengalu-alukan peningkatan kadar pemberian khas itu, perjuangan menuntut 40 peratus hasil Sabah tetap diteruskan secara konsisten melalui saluran rasmi.
Katanya, komitmen tersebut telah ditegaskan sendiri oleh Ketua Menteri ketika menggulung ucapan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 1 Disember 2022.
Menurut beliau, isu berkenaan kini diperjuangkan secara aktif melalui dua saluran utama iaitu Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri serta proses semakan kehakiman yang sedang berjalan.
“Pendekatan ini lebih efektif dan strategik berbanding mempolitikkan isu di DUN yang hanya akan mengganggu proses teknikal serta perundangan yang sedang berjalan dan memihak kepada Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan GRS kekal konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah menerusi saluran rasmi dan rundingan institusional seperti MTPMA63.
Katanya, daripada keseluruhan 29 tuntutan MA63, sebanyak 13 tuntutan berjaya diselesaikan termasuk sembilan daripadanya di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Antara pencapaian tersebut termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sebagai jabatan teknikal, penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik kepada Sabah serta pindaan melibatkan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan.
“Semua ini adalah pencapaian konkrit hasil gabungan tekanan politik yang bijak serta kesediaan teknikal kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Anna Bell menjelaskan penolakan usul persendirian ADUN Kapayan daripada Parti Warisan, Chin Tek Ming, dalam Sidang DUN Sabah baru-baru ini dibuat atas kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri.
“Penolakan usul persendirian di DUN tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sebagai penolakan terhadap perjuangan tuntutan 40 peratus oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, pendirian kerajaan negeri telah diperincikan dalam Sidang DUN termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berhubung perkembangan rundingan serta sasaran peningkatan kadar pemberian khas secara signifikan.
“Rakyat Sabah hari ini bijak menilai antara retorik politik dan hasil sebenar yang berjaya dicapai demi kepentingan negeri,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan usul yang dibawa ADUN Kapayan sebagai bermotif politik termasuk cubaan memposisikan Parti Warisan sebagai pejuang utama isu tersebut serta menutup kelemahan pentadbiran lalu.
Beliau mendakwa antara kesilapan besar kerajaan Warisan pada 2019 ialah tidak bersetuju membawa tuntutan MA63 ke mahkamah selain meluluskan persetujuan kadar pemberian khas hanya RM53.4 juta melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia.
