TONGOD: Rakyat digesa kembali mengusahakan tanaman padi sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan susulan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan beras import menjelang hujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, negara berdepan risiko krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya kebergantungan kepada import tidak dikurangkan.
Menurutnya, situasi geopolitik global yang tidak menentu, khususnya konflik di Asia Barat, berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan dunia.
“Jika konflik berlanjutan, tidak mustahil negara pengeksport akan mengehadkan atau menghentikan bekalan beras kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Tongod, di sini, pada Sabtu.
𝗞𝗮𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗺𝗯𝗮𝗹𝗶 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗽𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗶𝗮𝗻:
Masiung berkata, sambutan Pesta Kaamatan wajar dijadikan platform untuk mengembalikan masyarakat kepada asas kehidupan bertani, khususnya penanaman padi seperti yang diamalkan oleh generasi terdahulu.
“Rakyat perlu kembali ke akar umbi dengan menanam padi sendiri bagi memastikan bekalan makanan keluarga sentiasa mencukupi,” katanya.
𝗦𝗲𝗸𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗲𝗸𝘀𝗽𝗼𝗿𝘁, 𝗰𝘂𝗸𝗮𝗶 𝘁𝗶𝗻𝗴𝗴𝗶 𝗷𝗲𝗷𝗮𝘀 𝗯𝗲𝗸𝗮𝗹𝗮𝗻:
Beliau turut memaklumkan beberapa negara pengeksport utama seperti India, Myanmar dan Vietnam telah mengehadkan bekalan beras sejak 2025 selain mengenakan cukai import tinggi, sekali gus menyebabkan harga beras import meningkat.
Tambahnya, negara pengeluar seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja juga berdepan kesan fenomena El Nino yang menjejaskan hasil pengeluaran padi.

𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗽𝗲𝗿𝗹𝘂 𝘁𝗶𝗻𝗴𝗸𝗮𝘁 𝗽𝗲𝗻𝗴𝗲𝗹𝘂𝗮𝗿𝗮𝗻 𝘁𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁𝗮𝗻:
Masiung berkata, Sabah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import memandangkan negeri ini masih mencatat jurang besar antara keperluan dan pengeluaran.
“Sabah mengimport kira-kira 400,000 tan metrik beras setahun, sedangkan pengeluaran tempatan hanya sekitar 120,000 tan metrik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat memanfaatkan pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan negeri untuk mengusahakan tanaman padi di tanah sendiri.
Menurutnya, agensi seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Padi dan Beras Sabah menyediakan subsidi bagi tanaman padi sawah dan padi bukit sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada import.
