Masidi salur bantuan kepada mangsa kebakaran di Ranau

RANAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Timbua sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas.

Kejadian kebakaran itu memusnahkan beberapa kediaman dan melibatkan seramai 54 mangsa daripada 11 keluarga, termasuk 37 orang dewasa dan 17 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.


𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗱𝗶𝘀𝗮𝗹𝘂𝗿𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗴𝗲𝗿𝗮:
Susulan kejadian, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Ranau telah menggerakkan inisiatif kutipan sumbangan yang berjaya mengumpul pelbagai barangan keperluan dalam tempoh singkat.

Antara bantuan yang disampaikan termasuk pakaian, perabot asas serta bekalan makanan dan minuman bagi membantu meringankan beban mangsa.

Selain itu, masyarakat setempat turut tampil menyalurkan sumbangan kewangan dan keperluan asas, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan tinggi dalam kalangan penduduk daerah ini.


𝗦𝗼𝗹𝗶𝗱𝗮𝗿𝗶𝘁𝗶 𝗺𝗮𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗥𝗮𝗻𝗮𝘂 𝘁𝗲𝗿𝘀𝗲𝗿𝗹𝗮𝗵:
Penyampaian bantuan telah diwakili oleh Pegawai Khas, Shahrin Mujin bersama Pegawai Khas Kebajikan ADUN Karanaan, Sujani Gipul, bagi pihak Masidi.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu mereka bangkit semula selepas ditimpa musibah.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.


𝗣𝗲𝗻𝗴𝗵𝗮𝗿𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝘀𝘂𝗸𝗮𝗿𝗲𝗹𝗮𝘄𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶:
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Ranau serta masyarakat setempat yang pantas bertindak menggerakkan bantuan.

Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan jelas memperlihatkan semangat solidariti serta amalan gotong-royong yang kukuh dalam kalangan masyarakat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles