KOTA KINABALU:Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menunaikan zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM500,000 kepada Pusat Zakat Sabah dalam satu majlis yang berlangsung pada Sabtu di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kinabalu.
Zakat tersebut disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Iwansuzairie Hari, yang mewakili Pusat Zakat Sabah.
Japlin berkata, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan sahaja berperanan menyokong pembangunan ekonomi Sabah, malah komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Sebagai syarikat milik kerajaan negeri, kami bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah, tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Turut hadir ialah Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusof serta Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, bersama barisan pengurusan CIS.
Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar bersama 60 anak yatim dan asnaf daripada beberapa institusi kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah serta Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah.

Dalam majlis tersebut, setiap rumah kebajikan turut menerima sumbangan berjumlah RM2,000 sebagai bantuan bagi menyokong keperluan kebajikan mereka.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan serta membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di negeri ini. Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
