FCAS rakan strategik Kerajaan Negeri perkasa keharmonian Sabah

KOTA KINABALU: Semangat kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mampu memperkukuh kesejahteraan serta kestabilan sosial di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu bukan sahaja membantu memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum, malah turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi rakyat secara inklusif.

“Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan inklusif dan seimbang, agar semua kaum dan komuniti mendapat manfaat daripada kemajuan negeri,” katanya ketika berucap pada Pesta Angpau FCAS di sini, pada Sabtu.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

“Penganjuran Pesta Angpau oleh FCAS bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi lambang muhibah, perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Kehadiran rakyat daripada pelbagai latar belakang pada majlis ini mencerminkan keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri amat menghargai kerjasama berterusan FCAS dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan masyarakat, kegiatan kebudayaan serta pembangunan komuniti, yang secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negeri. “Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha pertubuhan masyarakat yang memainkan peranan memperkukuh perpaduan dan keharmonian demi memastikan Sabah terus maju sebagai sebuah negeri yang aman, stabil dan makmur,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles