Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa, Erveana seru penguatkuasaan tanpa kompromi

KOTA KINABALU:Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun lalu disifatkan sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dan pelajar serta membanteras gejala buli yang semakin membimbangkan.

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Erveana Ansari berkata, akta berkenaan bersama penubuhan Tribunal Antibuli menyediakan saluran yang lebih jelas dan berkesan kepada mangsa untuk mendapatkan pembelaan serta keadilan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan akta tersebut tidak boleh diukur semata-mata melalui pewujudannya, sebaliknya bergantung kepada tahap pelaksanaan dan penguatkuasaan yang konsisten, telus serta berintegriti.

“Ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak dan pelajar di negara ini. Namun, keberkesanannya bergantung kepada komitmen semua pihak untuk melaksanakan undang-undang ini tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

𝗝𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗔𝗻𝗴𝗴𝗮𝗽 𝗕𝘂𝗹𝗶 𝗜𝘀𝘂 𝗞𝗲𝗰𝗶𝗹 𝗮𝘁𝗮𝘂 𝗞𝗼𝗻𝗳𝗹𝗶𝗸 𝗕𝗶𝗮𝘀𝗮
Menurut Erveana, antara kebimbangan utama ibu bapa ketika ini ialah kecenderungan sesetengah pihak untuk menganggap kes buli sebagai isu kecil atau sekadar konflik biasa dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, persepsi bahawa terdapat pihak yang lebih mengutamakan reputasi institusi berbanding mendedahkan kebenaran perlu ditangani dengan serius kerana boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan sedia ada.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak. Sebarang dakwaan buli perlu disiasat secara telus dengan bukti dikumpulkan secara menyeluruh, selain memastikan mangsa dan saksi diberikan perlindungan sewajarnya.

“Tiada mana-mana pihak boleh menghalang saksi daripada tampil memberi keterangan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan integriti siasatan,” katanya.

𝗞𝗲𝘀 𝗦𝗲𝗿𝗶𝘂𝘀 𝗣𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗗𝗶𝗯𝗮𝘄𝗮 𝗸𝗲 𝗠𝗮𝗵𝗸𝗮𝗺𝗮𝗵
Erveana turut menekankan bahawa pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh luar, khususnya dalam kes yang melibatkan unsur jenayah, kecederaan serius atau ancaman terhadap keselamatan mangsa.

Menurutnya, walaupun penyelesaian secara damai boleh dipertimbangkan dalam keadaan tertentu, pendekatan itu tidak seharusnya dijadikan jalan mudah bagi menyelesaikan semua kes buli.

“Terdapat kes yang memerlukan tindakan undang-undang demi kepentingan awam. Jika bukti mencukupi, kes perlu dibawa ke mahkamah supaya menjadi pengajaran dan memberi mesej jelas bahawa setiap perbuatan mempunyai akibat,” katanya.

Erveana berkata, kegagalan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku buli hanya akan mewujudkan persepsi bahawa perbuatan tersebut boleh dilakukan tanpa sebarang hukuman.

𝗣𝗲𝗻𝗱𝗲𝗸𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗶𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗮𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗮𝘁𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝘂𝗹𝗶𝗵𝗮𝗻
Bagaimanapun, Erveana berpandangan isu buli perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek akauntabiliti dan pemulihan.

“Mangsa perlu mendapat keadilan, manakala pelaku yang sesuai diberikan peluang untuk berubah melalui kaunseling, pendidikan dan intervensi yang berkesan.

“Kita perlu memastikan pendekatan yang seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan usaha pemulihan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 turut mengambil kira cabaran yang dihadapi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Beliau berkata, akses kepada maklumat, mekanisme aduan, bantuan guaman serta sokongan psikososial perlu diperluaskan supaya setiap kanak-kanak mendapat perlindungan yang sama tanpa mengira lokasi atau latar belakang keluarga.

“Akta Antibuli 2026 mempunyai potensi besar untuk mengubah landskap perlindungan kanak-kanak di negara ini. Namun, undang-undang yang baik tidak akan mencapai matlamatnya jika ada pihak memilih untuk menutup mata terhadap ketidakadilan. “Membanteras buli memerlukan keberanian untuk bercakap benar, melindungi mangsa dan memastikan tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles