Tuntutan 40 peratus hasil Sabah: Ujian Keikhlasan Nasional dan Federalisme sejati

KOTA KINABALU:Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menegaskan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri ini disifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan autonomi fiskal dan maruah pentadbiran Sabah.

Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Dr. Awang Faisal Assyiffa, berkata keputusan tersebut bukan sekadar soal angka atau formula kewangan, tetapi menyentuh inti keadilan sejarah dan semangat federalisme sejati dalam pembinaan negara Malaysia.

“Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk sama ada menerima atau merayu keputusan mahkamah ini akan menjadi ujian sebenar terhadap keikhlasan Putrajaya dalam menghormati semangat Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Awang Faisal menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan tuntutan baharu, sebaliknya hak yang telah dijamin dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan — satu janji yang termaktub sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Peruntukan ini bukan sekadar teks undang-undang, tetapi satu janji moral dan politik bahawa Sabah akan menikmati pembangunan yang adil di bawah sistem Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata isu ini mesti dilihat sebagai usaha memulihkan keseimbangan hubungan Sabah–Persekutuan, bukan pertikaian politik atau tuntutan emosi.

Sebagai penggiat dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia, Dr. Awang Faisal berkata pelaksanaan hak ini mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan pendidikan dan pembangunan modal insan Sabah.

Menurutnya, banyak institusi pendidikan di Sabah masih beroperasi dengan sumber yang terhad, sedangkan potensi pelajar Sabah untuk menjadi tenaga pakar dan inovator masa depan amat besar.

“Jika hasil 40 peratus ini disalurkan dengan strategi yang telus, ia boleh memperkukuh sistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi tempatan, sekali gus mempercepat transformasi sosioekonomi negeri,” katanya.

Beliau menambah bahawa keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan menerima atau merayu keputusan Mahkamah Tinggi akan memperlihatkan nilai sebenar federalisme dan integriti nasional.

“Jika diterima dan dilaksanakan secara konstruktif, ia akan menjadi bukti kematangan politik dan kesungguhan kepimpinan pusat untuk menegakkan keadilan antara wilayah,” katanya.

Sebaliknya, tegas beliau, jika rayuan difailkan, langkah itu akan dianggap sebagai kemunduran politik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat Sabah terhadap sistem persekutuan.

Dr. Awang Faisal menegaskan bahawa Sabah tidak menuntut keistimewaan baharu, sebaliknya hanya meminta hak yang telah dijamin dan dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah tidak meminta lebih, hanya menuntut apa yang telah dijanjikan dan dijamin oleh Perlembagaan.

Inilah masa untuk menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar sebuah Persekutuan yang matang, di mana suara dan hak setiap negeri dihormati dengan penuh keikhlasan,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles