GRS tegaskan hak 40 peratus  bukan tuntutan politik, tapi tanggungjawab perlembagaan

KOTA KINABALU:Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025, yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Presiden GRS yang diadakan di Seri Gaya pada Jumaat, keputusan itu disifatkan sebagai pelaksanaan sebenar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan semata-mata isu perundangan.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Tinggi tidak mengenakan sebarang penalti kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hanya mengarahkan agar semakan perlembagaan yang tertangguh selama hampir lima dekad dilaksanakan segera, selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk merayu keputusan ini bererti menolak proses rundingan itu sendiri, bukan hasilnya. Ini bukan soal politik, tetapi soal maruah perlembagaan,” tegas kenyataan itu.

Majlis Presiden GRS menegaskan bahawa Artikel 112C dan 112D serta MA63 merupakan teras utama persetujuan Sabah menyertai Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu, menurut kenyataan berkenaan, hanyalah pelaksanaan semula terhadap hak yang telah sekian lama dipersetujui sejak 1963.

Susulan keputusan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Kementerian Kewangan Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) dan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk meneliti secara mendalam alasan penghakiman tersebut serta bersiap sedia mengadakan rundingan bermakna dengan Putrajaya.

“Kerajaan negeri bersedia melaksanakan perintah mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati bagi menentukan jumlah hasil yang sewajarnya diterima oleh Sabah,” katanya.

Majlis Presiden GRS turut menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak 40 peratus bukan sekadar soal angka atau kewangan, tetapi soal keadilan sosial dan pembangunan seimbang untuk rakyat Sabah.

“Selama ini, dari Pitas hingga Pensiangan, masih ramai rakyat hidup dalam kegelapan tanpa bekalan elektrik, jalan raya yang tidak berturap dan klinik tanpa doktor.

“Bukan kerana Sabah tidak berusaha, tetapi kerana hasil yang sepatutnya milik rakyat Sabah tidak disalurkan sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.

Majlis Presiden menambah, ketidaksamarataan fiskal yang berlarutan selama puluhan tahun telah memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, dan keputusan Mahkamah Tinggi ini merupakan langkah penting untuk membetulkan ketidakseimbangan tersebut.

Majlis Presiden GRS turut memberi jaminan bahawa Sabah di bawah kepimpinan Hajiji akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif, terbuka dan penuh hormat dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kami berdiri teguh menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kami menghargai pendekatan beliau yang berteraskan keterangkuman, keterbukaan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat Sabah,” ujar kenyataan itu lagi.

Di bawah pentadbiran GRS, Sabah telah berjaya menyelesaikan 13 daripada 29 tuntutan MA63 yang dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan — satu pencapaian yang menunjukkan keberkesanan diplomasi dan rundingan berasaskan prinsip.

GRS menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi ini adalah kemenangan maruah dan hak rakyat Sabah, serta bukti bahawa tuntutan 40 peratus bukanlah permintaan politik, tetapi tanggungjawab perlembagaan yang mesti dihormati oleh semua pihak.

“Menegakkan hak ini membuktikan bahawa Malaysia ditadbir berasaskan undang-undang dan kejujuran, bukan atas dasar keselesaan politik.

Biarlah detik ini menjadi titik permulaan untuk menyembuhkan luka rasa terpinggir yang dialami rakyat Sabah selama hampir setengah abad,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden GRS turut menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikenang oleh rakyat Sabah sebagai pemimpin yang menghormati hak negeri dan mengembalikan semangat sebenar Persekutuan Malaysia.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles