Abidin seru rakyat Paginatan terus beri mandat kepada GRS demi kestabilan politik Sabah

RANAU:Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, menyeru rakyat agar terus memberi mandat baharu kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan prasyarat utama untuk mengekalkan momentum pembangunan negeri yang dicapai sejak lima tahun lalu melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan pembangunan yang kita nikmati hari ini. Melalui SMJ, banyak kemajuan telah dicapai dan manfaatnya dirasai oleh rakyat,” katanya semasa program santai bersama penduduk Kampung Niasan, dekat sini, baru-baru ini.

Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan berkata, sepanjang lima tahun pentadbiran GRS Plus, banyak kejayaan telah direalisasikan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana dan rakyat.

Antara pencapaian yang paling signifikan ialah pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar tanah, serta pemindahan Kampung Ponulangon, Walou dan Kanawahon daripada kawasan hutan simpan.

Selain itu, katanya, pelancaran Pekan Baharu Paginatan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

“Kita juga meningkatkan kuota Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK bagi memastikan pentadbiran di peringkat akar umbi lebih efisien,” katanya.

Abidin turut memberi jaminan bahawa program pemilikan tanah rakyat akan diteruskan di bawah fasa seterusnya, termasuk perbincangan bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Ukur (PPHT) Ranau bagi pelaksanaan Program Pantas di Kampung Tinanom, Kodop Baru dan Kigiwit.

“Geran tanah amat berharga bagi rakyat luar bandar. Saya komited untuk meneruskan usaha ini agar lebih ramai rakyat menikmati manfaatnya,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik di bawah GRS telah memberi impak besar kepada pembangunan negeri, termasuk peningkatan hasil negeri, kemasukan pelaburan asing dan penciptaan peluang pekerjaan baharu kepada anak muda Sabah.

“Lima tahun pentadbiran GRS membuktikan kestabilan membawa kemakmuran. Sebab itu saya menyeru rakyat Paginatan supaya terus menyokong GRS demi kesinambungan pembangunan,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling; CDO Jipili Sigal; Ketua Pemuda GRS Paginatan, Hillary Salmoen; serta pemimpin masyarakat setempat.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles