Tongod terus diberi tumpuan pembangunan : Hajiji

TONGOD: Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan perkembangan signifikan dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan pelancongan lestari.

Katanya, kerajaan negeri komited memperkukuh rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 pada Rabu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

Menurutnya, anak-anak muda Tongod perlu merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran kerana mereka merupakan aset dan pemimpin masa depan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata Tongod memiliki khazanah alam semula jadi yang amat bernilai termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi besar dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari Sabah.

Katanya, kedudukan strategik Tongod di tengah-tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart of Sabah” atau jantung negeri yang menghubungkan wilayah utara, selatan, timur dan barat Sabah.

“Pembangunan sektor pelancongan di Tongod perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasa produk kraf tangan, makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan penduduk.

“Keharmonian antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod dalam jangka panjang,” katanya.

Mengulas isu bekalan air di Tongod, Hajiji berkata masalah berkenaan akan ditangani menerusi peruntukan disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Katanya, kuasa melaksanakan projek itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri dengan peruntukan melebihi RM4 bilion untuk tahun ini.

“Pada April lalu, kerajaan Persekutuan melalui KKDW menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek bekalan air luar bandar dan saya berharap Tongod turut menerima manfaat daripada pelaksanaan itu.

“Inilah hasil hubungan baik dan rundingan berhemah antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Banyak urusan yang dahulu dikendalikan Persekutuan kini sudah diserahkan kepada kerajaan negeri termasuk projek bekalan air luar bandar,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu terus diperkukuh tanpa meminggirkan kepentingan Sabah.

“Sabah adalah negeri yang sama-sama membentuk Malaysia. Apa yang kita lakukan mesti bergerak seiring demi memastikan Sabah terus maju dengan sokongan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, walaupun hasil negeri dijangka meningkat pada masa hadapan termasuk menerusi tuntutan bayaran khas 40 peratus, Sabah masih memerlukan kerjasama erat dengan Persekutuan untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji berkata perayaan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata cadangan pembangunan pekan baharu Tongod akan dilaksanakan oleh syarikat swasta di atas tanah milik mereka sendiri termasuk pembinaan pejabat-pejabat kerajaan.

“Kita mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan dalam membangunkan Tongod demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan 239 geran tanah adat (NT) di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) melibatkan keluasan keseluruhan 583.38 hektar kepada penduduk Tongod.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles