KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memperhalusi beberapa pembaharuan penting dalam sektor kesihatan negeri termasuk cadangan pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO), penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) serta penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan Negeri sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan autonomi kesihatan Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, usaha itu selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi memperkasa bidang kesihatan negeri menerusi pendekatan lebih tersusun serta inklusif.
Katanya, perkara berkenaan menjadi antara fokus utama Bengkel Kesihatan anjuran kementeriannya yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan sektor kesihatan di sini, pada Rabu.
“Bengkel ini diadakan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri serta platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika merasmikan bengkel berkenaan.
Menurutnya, pendekatan “team government” perlu dijadikan asas dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri tanpa menjejaskan fungsi dan peranan mana-mana agensi sedia ada.
“Kita bukan mahu mengambil alih tugas mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan segala penambahbaikan dapat dilaksanakan secara bersama sebagai satu pasukan.
“Semua pandangan yang dikumpulkan akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya.
Julita berkata, antara perkara yang turut dibincangkan ialah status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 serta cadangan mewujudkan majlis atau jawatankuasa khas kesihatan negeri.
Beliau berkata, Sabah juga melihat keperluan memperkukuh aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembetungan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian berkaitan serta jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi.
“Kalau perlu dibawa ke Kabinet, kita akan bawa ke Kabinet. Jika perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, kita akan laksanakan demi kepentingan Sabah,” katanya.
Bengkel sehari itu turut disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), persatuan profesional serta NGO berkaitan sektor kesihatan.
