KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd menegaskan penyertaan Kerajaan Negeri Sabah dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) menerusi pegangan ekuiti 25 peratus merupakan langkah strategik yang terus memberi pulangan kewangan konsisten kepada negeri.
SMJ Energy, syarikat pelaburan tenaga milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, berkata pegangan tersebut dilaksanakan melalui PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), iaitu syarikat yang memiliki dan mengendalikan kompleks SAMUR menerusi perjanjian kerjasama komersial bersama PETRONAS.
Menurut syarikat itu, sejak perjanjian dimeterai, Sabah terus menerima pulangan kewangan secara berterusan hasil penyertaan ekuiti strategik berkenaan, termasuk dividen yang disalurkan ke tabung negeri melalui SMJ Energy demi manfaat rakyat Sabah.
“Dakwaan bahawa Sabah menerima kurang daripada apa yang sepatutnya daripada SAMUR adalah tidak berasas kerana ia mengabaikan usaha Kerajaan Negeri, terma komersial yang menguntungkan serta keputusan strategik yang berjaya memastikan Sabah memiliki pegangan dalam salah satu aset petrokimia terpenting di rantau ini,” menurut kenyataan SMJ Energy.
SMJ Energy berkata, SAMUR kini diiktiraf sebagai fasiliti urea berbutir single-train terbesar di Asia Tenggara serta loji urea ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik.
Katanya, projek yang dibangunkan di Sabah menggunakan sumber gas negeri itu telah meletakkan Sabah sebagai antara pemain penting dalam industri baja dan petrokimia serantau.
Menurut kenyataan itu lagi, impak pembangunan SAMUR turut melangkaui operasi loji apabila Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), dengan SAMUR sebagai projek pemangkin, berjaya menarik pelaburan komited bernilai besar serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
“Limpahan ekonomi daripada pembangunan ini turut memberi kesan positif kepada sektor kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal, dengan potensi pertumbuhan yang dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Pembangunan ini mewakili pertumbuhan jangka panjang berasaskan lokasi yang semakin dirasai oleh komuniti di Sipitang dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.
SMJ Energy turut menegaskan Kerajaan Negeri Sabah akan terus meneroka pelaburan strategik dan memperkukuh kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri lain bagi memastikan sumber asli negeri terus menjana nilai jangka panjang dan manfaat ekonomi mampan kepada rakyat Sabah.
