Sedcovest tinjau cadangan penaiktarafan Tamu Ground Keningau

KENINGAU: Siri Lawatan Rasmi Pengurusan dan Semakan Projek Strategik Sedcovest 2026 diteruskan dengan lawatan tapak serta sesi perbincangan cadangan penaiktarafan Tamu Ground Keningau pada 18 Mei lalu.

Lawatan berkenaan diketuai Pengerusi Sedcovest, Datuk Redonah Bahanda bersama barisan pengurusan syarikat.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Daerah Keningau dan Jurutera Daerah Keningau yang turut memberikan pandangan teknikal serta input berkaitan keperluan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur sedia ada di kawasan tamu berkenaan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk susun atur tapak, kemudahan asas serta potensi pembangunan jangka panjang bagi meningkatkan daya tarikan ekonomi dan keselesaan pengunjung di kawasan tersebut.

TAKLIMAT: Redonah mendengar taklimat berkaitan cadangan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di Tamu Ground Keningau.

Redonah berkata, lawatan itu bertujuan menilai secara menyeluruh potensi pembangunan ruang niaga tempatan selain memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak berkuasa daerah demi manfaat komuniti setempat.

Menurut beliau, Tamu Ground Keningau mempunyai potensi besar untuk diperkasa sebagai pusat aktiviti ekonomi komuniti serta destinasi tumpuan penduduk dan pengunjung.

TINJAUAN: Redonah meninjau kawasan Tamu Ground Keningau sempena siri lawatan rasmi pengurusan Sedcovest.

“Penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan yang lebih sistematik akan membantu meningkatkan keselesaan peniaga serta pengunjung selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Sedcovest untuk terus menilai dan memperkasa aset serta lokasi strategik yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi masyarakat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles