KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dan mengamalkan prinsip sifar toleransi terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa serta pelanggaran integriti dalam pentadbiran negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pengukuhan sistem tadbir urus, khususnya dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun negeri.
Menurut beliau, bermula tahun hadapan, semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) GLC serta Badan Berkanun Negeri diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri.
“Langkah ini penting bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan serta pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap agensi,” katanya ketika menggulung perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh usaha antirasuah melalui penempatan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri.
Beliau menjelaskan, semua GLC negeri juga diarahkan menubuhkan Unit Integriti dan Governans Negeri Sabah (IGU) sebagai entiti bebas yang melaksanakan empat fungsi teras, iaitu pengurusan aduan, pematuhan, tadbir urus dan integriti.
“Pelaksanaan ini dipantau oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuk pelaporan berkala kepada SPRM melalui mesyuarat pemantauan dua kali setahun,” katanya.
Menurut Hajiji, program pengukuhan integriti khusus kepada kepimpinan tertinggi GLC akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026 bagi memastikan budaya pentadbiran yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti dapat diamalkan secara menyeluruh.
Mengulas dakwaan salah laku melibatkan sebuah syarikat berkepentingan kerajaan negeri, beliau menegaskan semua perkara yang dibangkitkan masih dalam peringkat siasatan.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya akan dibuat berdasarkan pematuhan kepada undang-undang, prinsip tadbir urus dan integriti.
“Kami tidak akan mempertimbangkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi kerajaan negeri dan GLC,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat kenyataan atau andaian yang mendahului hasil siasatan rasmi kerana ia boleh menjejaskan prinsip keadilan semula jadi dan proses undang-undang yang adil.
Dalam perkembangan berkaitan kebajikan rakyat, Hajiji berkata bermula 2026, pelaksanaan Program Kemiskinan Tegar akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024, iaitu RM1,257 sebulan dengan nilai per kapita RM310.
Menurutnya, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025 diteruskan sebagai bantuan tunai RM300 sebulan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
“Program ini dilaksanakan secara empat fasa, setiap tiga bulan sekali, dengan nilai keseluruhan RM9,000 bagi setiap penerima.
“Setakat ini, seramai 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar dikenal pasti menerima manfaat program ini,” katanya.
— TAMAT
