TAWAU: Kerajaan Sabah berharap temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dapat diteruskan mengikut jadual, namun dalam skala lebih sederhana meskipun terdapat gesaan supaya ia ditangguhkan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, negeri itu telah membuat pelbagai persiapan termasuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menghadapi temasya berkenaan.
Katanya, Sabah juga sedang mempergiat persiapan atlet sebagai langkah awal menghadapi Sukan Asia Tenggara 2027, sekali gus menjadikan kesinambungan SUKMA penting dalam pembangunan sukan negeri.
“Bagi Sabah, kita sudah mengeluarkan perbelanjaan untuk persiapan atlet dan program latihan. Justeru, adalah wajar SUKMA diteruskan, namun dalam skala sederhana.
“Bagaimanapun, kita serahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bersama Kerajaan Negeri Selangor untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.
Nizam berkata, Sabah akan akur dan menghormati apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak berkaitan demi kepentingan semua pihak.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran kontinjen Sabah pada SUKMA akan datang adalah untuk meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas.
“Matlamat kita jelas iaitu 40 pingat emas dan kita akan terus memperkukuh persiapan atlet bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan projek Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) yang sedang dalam pembinaan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan bakal menjadi mercu tanda baharu di daerah ini.
Katanya, kemudahan itu akan dilengkapi dewan konvensyen berkapasiti kira-kira 2,000 orang serta fasiliti lain yang berpotensi menarik penganjuran program bertaraf antarabangsa ke Tawau.
“Dengan adanya kemudahan ini, Tawau bukan sahaja mampu menarik pelancong, malah membuka lebih banyak peluang penganjuran acara dan aktiviti belia di peringkat lebih tinggi,” katanya.
