KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyalurkan pendapatan dan dividen berjumlah RM21.3 juta kepada 2,119 peneroka dan peserta dari Wilayah Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah, sebagai komitmen berterusan memperkasa ekonomi luar bandar dan kebajikan peneroka.
Penyerahan cek cura pendapatan dan dividen itu disempurnakan oleh Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari, kepada wakil peneroka, Mohd Adzlie Jaidih, dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Syaheddrul berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan pasaran, LKTNS kekal komited melaksanakan pengurusan yang berhemah serta strategi pembangunan yang mampan bagi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara.
“Agihan pendapatan dan dividen ini bukan sahaja mencerminkan prestasi pengurusan LKTNS, malah merupakan sebahagian daripada usaha menyokong komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam membasmi kemiskinan serta memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau menegaskan, LKTNS akan terus mempertingkatkan kecekapan pengurusan ladang dan projek pembangunan tanah bagi menjamin pulangan berterusan kepada peneroka dan peserta di seluruh negeri.
Agihan berkenaan juga selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan inklusif, peningkatan pendapatan rakyat serta pengukuhan ekonomi luar bandar sebagai teras pembangunan negeri.
— TAMAT
