KOTA MARUDU:Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, meluangkan masa menyantuni masyarakat Kampung Tanjung Batu Laut dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Makanan yang diadakan di kampung tersebut, pada Isnin.
Program berkenaan diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan parti dan masyarakat setempat di samping menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima yang memerlukan.
Redonah berkata program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat, malah memberi peluang kepada pemimpin untuk mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka di peringkat akar umbi.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah menjadi ruang untuk kita terus menyantuni rakyat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Redonah berharap usaha kebajikan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu masyarakat serta memupuk semangat keprihatinan dalam kalangan komuniti setempat.
