KENINGAU: Rakyat Sabah digesa memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor susulan pembentukan Kabinet Baharu Kerajaan Perpaduan Sabah yang disifatkan penting bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, kabinet yang baharu dibentuk itu perlu diberi ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan percaturan politik yang boleh menjejaskan fokus pentadbiran.
Menurut beliau, pembentukan kabinet berkenaan bukan sekadar rombakan pentadbiran, sebaliknya mencerminkan keperluan mendesak Sabah terhadap kerajaan yang stabil, tersusun dan berorientasikan hasil.
“Rakyat mahukan kerajaan yang tegas, jelas dan berani mempertahankan kepentingan Sabah. Kabinet kali ini membawa mesej bahawa pentadbiran negeri perlu bergerak dengan serius, berdisiplin dan fokus kepada pelaksanaan,” katanya kepada media .
Haji Yazid menegaskan setiap anggota Jemaah Menteri yang dilantik perlu menunjukkan tahap disiplin, komitmen dan integriti yang tinggi dalam menjalankan amanah.
“Setiap menteri wajib membuktikan kemampuan. Rakyat tidak lagi mahu janji kosong, sebaliknya menuntut keputusan pantas, dasar yang jelas serta tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ketegasan serta kesabaran Ketua Menteri dalam menguruskan landskap politik negeri sebagai bukti kepimpinan berprinsip yang berjaya mengekalkan kestabilan politik Sabah.
“Ini adalah kepimpinan yang konsisten. Langkah penyatuan ini perlu diteruskan tanpa kompromi kerana kestabilan politik adalah asas utama pembangunan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Haji Yazid berkata Sabah tidak mampu lagi terperangkap dalam kelewatan pentadbiran, dasar yang longgar atau pelaksanaan yang kabur, khususnya ketika masyarakat luar bandar termasuk di Bingkor masih berdepan pelbagai cabaran pembangunan.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri agar memberi perhatian lebih serius terhadap kebajikan rakyat, pembangunan luar bandar serta penciptaan peluang ekonomi, terutama untuk golongan belia.
Dalam masa sama, katanya, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor komited untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam menjayakan program kebajikan dan pembangunan sosial di peringkat akar umbi.
“Kebajikan rakyat adalah amanah besar. Kami bersedia membantu dan bekerjasama demi memastikan setiap usaha kerajaan sampai dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Haji Yazid, kabinet baharu bukan sekadar senarai pelantikan, sebaliknya amanah berat untuk membina masa depan negeri.
“Rakyat sedang memerhati dan menilai melalui hasil. Kabinet ini perlu bekerja dengan tegas, cekap dan jujur. Sabah memerlukan tindakan, bukan sekadar penampilan,” tegasnya.
— TAMAT
